Isnin, 6 April 2020

CABARAN MENYAMBUT RAMADHAN DALAM SUASANA MENULARNYA WABAK COVID-19



Ketika dunia sedang digoncang dengan kekecohan, ketakutan, kematian disana sini dan kesibukan menangani wabak Covid-19 yang sangat menggerunkan ini, sebahagian manusia dimuka bumi ini sedang bersiap menghadapi wabak ini dalam suasana berlapar dahaga demi menunaikan ibadah puasa dibulan Ramadan nanti yang akan menjelang beberapa hari lagi.

Sebagai umat Islam, kita menerima kehadiran Covod-19 ini sebagai ujian kepada seluruh penghuni dunia yang beragama Islam. Walau ianya berat dan berupa azab yang perlu di tanggung, namun bagi insan yang sedar dan sentiasa redha dengan ketentuan Allah akan mengambil peluang dan iktibar atas apa jua yang berlaku dimuka bumi ini untuk menguatkan lagi keimanan dan taqwa kepada Allah Sang Pencipta yang telah memberikan kita berbagai peringatan dan tanda kebesaranNya yang maha berkuasa agar kita tidak leka dengan kesenangan duniawi yang hanya bersifat sementara.

Kita diuji dengan perasaan takut, kebergantungan kita kepada Allah yang maha berkuasa terkadang beralih kepada yang lain kerana takut kepada sesuatu yang Allah ciptakan. Tanpa disedari, kita takut kepada yang lain daripada Allah, kita bergantung kepada yang lain daripada Tuhan yang maha berkuasa atas apa jua yang berada dilangit dan dibumi ini (Allah).

Kehadiran Covid-19 telah banyak memberikan pengajaran dan iktibar kepada kita. Sehalus-halus makhluk Allah ini, atas izinNya jua telah mampu menukar suasana kehidupan umat manusia diseluruh dunia, sehingga dalam keadaan yang sangat mendesak ianya sangat mencabar kemampuan manusia mebuat sesuatu keputusan, hatta kepada perkara yang menyangkut soal pengabdian kepada Yang Khalik (Allah). Disebahagian negara-negara yang terjejas, sejak kehadiran Covid-19, kita telah terpaksa 2-3 kali meninggalkan Solat Jum'at di masjid-masjid dan surau atas sebab-sebab yang diharuskan syara'. Namun bagi kita yang cinta kepada masjid, rindu berjamaah semakin kita rasakan lebih-lebih lagi ketika menjelangnya bulan Ramadhan yang kita sama sama nantikan.

Sempena ketibaan Ramadhan yang penuh keberkatan yang akan menjelang tidak lama lagi, marilah kita memperbaiki Iman kita dalam melayari kehidupan sebagai umat Islam dengan sama sama menadah tangan memohon keampunan kepada Allah atas sebarang kelalaian dan kesilapan yang membawa kepada kemurkaanNya, dan memohon agar bencana yang sedang melanda kita ketika ini akan segera dilenyapkan Allah dengan memberikan kita keselesaan menunaikan Ibadah Puasa di dalam suasana aman dari sebarang kesulitan seperti pada setiap bulan Ramadhan di tahun-tahun sebelumnya.

Selamat menyambut ketibaan RAMADHAN MUBARAK.

Mahdi HM Suhaili - Kuala Belait 7 April 2020 / 13 Sa'ban 1441H

Tiada ulasan:

Catat Ulasan