Ahad, 17 Ogos 2014

SEJARAH RENGKAS ULAMAK TERKENAL HAJI YAAKUB BIN HAJI ALI (KELANTAN) 1880 – 1941

 HAJI YAAKUB BIN HAJI ALI (KELANTAN)

PENGENALAN

Haji Yaakub bin Haji Ali bin Abdullah  berasal dari kampung Chetok , Pasir Mas , Kelantan. Beliau empat orang bersaudara :

(1)  Abdul Aziz
(2)  Haji Yaakub
(3)  Mohd Salleh
(4)  Zalekha

GURU UGAMA ISTANA

Haji Yaakub adalah seorang ulamak di zamannya. Dia berdakwah dan mengembara ke beberapa buah negeri seperti  Melaka , Selangor dan Kedah . Beliau pernah tinggal di rumah kediaman Tengku Zaharah dan menjadi guru ugama istana Kedah selama dua tahu (1880an)

MENGEMBARA KE BRUNEI DARUSSALAM

Kemudian beliau mengambara ke Negara Brunei Darussalam (1890an) dan tinggal menetap di Muara. Di negara Brunei , beliau telah menjadi guru ugama selama beberapa tahun dan mendapat kedudukan yang baik sehingga berjaya membeli beberapa bidang tanah , mendirikan rumah dan memiliki sebuah kedai runcit.

ANAK-ANAK

Ketika bermastautin di Pekan Muara , Brunei , Haji Yaakub telah berkahwin dengan seorang wanita bernama Dayang Fatimah binti Awang Tarip . Hasil dari perkahwinan mereka berdua , telah dikurniai enam orang anak :
(1)  Dayang Zauyah (Bintulu)
(2)  Hajah Dayang Badariah (Dang Katong) –{meninggal di Mekkah)
(3)  Mohd. Sherbini (Imam)
(4)  Mohd. Ali
(5)  Mohd. Seruji
(6)  Mohd. Suhaili (Imam/Kadhi/Guru)

Kesemua anak-anak mereka ini dilahirkan di Pekan Muara, Brunei.


PENDAKWAH YANG BERJAYA

Oleh kerana kelazimannya , orang-orang yang berasal dari negeri Kelantan suka mengembara pada zaman  itu , selepas keluar dari skolah pondok , dan walaupun pada ketika itu , Haji Yaakub sudah berjaya memperolehi kedudukan yang baik di negeri Brunei , keinginannya  untuk melakukan penghijrahan sambil berdakwah di teruskan.


MENGEMBARA KE NEGERI SABAH

Dalam tahun 1910an , beliau telah berpindah ke negeri Sabah (waktu itu di panggil North Borneo) dan tinggal di satu kampong di sebut Kampong Putatan yang tidak jauh dari pekan Api-Api (Jesselton sekarang Kota Kinabalu).

Tarikh penghijrahan Haji Yaakub dari negara Brunei ke negeri di bawah bayu , Sabah iaitu pada 16 Syawal 1335 Hijrah ada tercatit dalam buku yang di tulis oleh Awang Abdul Latif bin Awang Mohamad Taha (bapa kepada allahyarham Datuk Awang Haji Sahari bin Awang Abdul Latif, bekas Pengarah Dakwah United Sabah Islamic Association (USIA). Tapi tarikh Masehinya tidak tertulis.


MEMBAWA  KELUARGA KE SABAH

Di daerah  Putatan , Haji yaakub telah membeli sebidang tanah dan langsung mendirikan rumah. Kedudukan tempat itu berdekatan dengan muka  jalan masuk ke mesjid kampung Putatan. Setelah beliau berjaya menyiapkan rumah di Kampung putatan, barulah beliau membawa isteri dan kesemua anak lelakinya pindah ke Putatan. Anak sulungnya yang bernama Dayang Zauyah tidak menyertainya berpindah ke Sabah kerana telah mengikuti suaminya Awang Muhammad Sum (Ma’asom bin Juragan Ahmad) berpindah dan menetap di Bintulu. Begitu juga dengan anaknya yang kedua , Dayang Badariah, belum dapat turut berpindah ke Sabah kerana suaminya Awang Abdul Latif  bin Awang Muhammad Taha , masih terikat dengan kerjanya sebagai kerani Kastam di negeri Brunei.


SAMBUTAN PENDUDUK SABAH

Ketiban Haji Yaakub di daerah Putatan telah mendapat sambutan baik dari masyarakt Islam setempat dan beliau terus dilantik menjadi Imam dan Guru Ugama di daerah itu. Pengaruh dan kewibawaan beliau telah berkembang meliputi kawasan Pantai Barat negeri Sabah. Nama beliau masyhur sebagai salah seorang ulamak yang disegani dari beberapa orang pendakwah Islam di Sabah.

Dalam tahun 1915,  beberapa orang Pakistan telah berjaya mendirikan sebuah mesjid di daratan Kampung Air  bagi mengantikan surau kecil yang sudah hampir roboh. Orang-orang Pakistan ini kebanyakkanya berkerja sebagai Polis pada waktu itu , sebagai jaga serta juga bekas-bekas Polis yang telah pencen . Mereka ini asalnya telah dibawa masuk oleh orang-orang Ingeriss bagi  mematahkan pemberontakkan yang diketuai oleh Pahlawan Mat Salleh. Di mesjid inilah juga Haji Yaakub dilantik menjadi Imam.


MENJADI IMAM DI DUA BUAH TEMPAT

Walaupun Haji Yaakub telah menerima lantikan sebagai imam di Jesselton (Kota Kinabalu) , tapi beliau tidak pula meninggalkan Putatan begitu sahaja. Beliau terpaksa tinggal di dua buah tempat selama beberapa tahun . Setelah berada dalam keadaan begitu beberapa lama , akhirnya Haji Yaakub melantik seorang dari muridnya bernama Encik Jilun menjadi imam mengantikan beliau di Putatan. Barulah beliau terus menetap tinggal di Jesselton. Selama 26 tahun menetap di Sabah , beliau sempat mengurus perkahwinan tiga orang anak lelakinya.


PERKAHWINAN ANAK-ANAK

(1)  Mohd Sherbini berkahwin dengan Siti Aishah binti Mohd Kassim (Luttah)
      di Tuaran dalam tahun 1928.

(2)  Mohd Suhaili berkahwin dengan siti Zalekha binti Majinggang , anak angkat kepad
      Haji momin dalam tahun 1933.

(3)  Mohd seruji berkahwin dengan Siti Sa’adiah (simba) di tuaran pada
      23 hb Januari 1941.

Terdahulu dari itu , tiga orang putera dan puteri beliau : Mohd Ali, Dayang Zauyah dan Dayang Badariah telah berkahwin di Negara Brunei Darussalam.


PENYAKIT LUMPUH

Di akhir hayatnya Haji Yaakub telah menghidap penyakit lumpuh bahagian kaki selama lebih kurang 3 tahun. Ketika itu umur beliau pun telah pun lanjut dan dia diserang penyakit tua.


MENINGGAL DUNIA

Haji Yaakub bin Haji Ali bin Abdullah (Kelantan) telah menghembuskan nafasnya yang terakhir pada 12 Februari 1941 , iaitu pada hari Rabu jam 5.45 petang di rumah kediamanya di pinggir Bukit Diasoka, Jesselton. Beliau telh dikebumikan di tanah perkuburan orang-orang Islam di batu 2 1/2  Jalan Tuaran pada 13 Februari , 1941.


ISTERI MENINGGAL

Kira-kira lima tahun kemudian , isteri Haji Yaakub , Siti Fatimah binti Awang Tarip meninggal dunia pada 10hb Februari 1946.


KESIMPULAN

Demikianlah sedikit catitan sejarah Haji Yaakub bin Haji ali bin Abdullah (Kelantan), seorang pengembara , pendakwah dan seorang ulamak terkenal tidak sahaja di negeri Brunei bahkan juga di negeri Sabah pada ketika itu. Untuk memperingati jasa-jasa beliau,  pihak pentadbiran Inggeriss ,  North Borneo Chartered Company pada ketika itu , telah menamakan salah sebuah jalan  di satu laluan pusat perniagaan yang pesat  di Kota Kinabalu , dengan nama “JALAN HAJI YAAKUB” .




CARTA KELUARGA HJ YAAKUB

Tiada ulasan:

Catat Ulasan